Blog Berita Online

Berita Utama

9 sekeluarga lemas pacuan empat roda jatuh sungai

BETONG: Sembilan sekeluarga lemas selepas pikap yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di jeti feri Triso, Beladin, di sini, hari ini.

Semua sembilan mangsa termasuk seorang bayi yang terperangkap di dalam kenderaan dikeluarkan oleh orang awam, namun semuanya sudah lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman, kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 petang membabitkan lima lelaki dan empat perempuan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.14 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok serta BBP Simunjan dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira 60 kilometer dari balai.

Menurut sumber, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar seorang daripada mereka ke Kuching untuk mengikuti pengajian tahfiz.

Selain pemandu, Ronany Ting, 33, lapan lagi yang maut adalah penumpang Ford Ranger itu termasuk seorang wanita mualaf, Siti Aisha Abdullah, 36 dan tiga anak lelakinya termasuk seorang yang bakal memasuki sekolah tahfiz itu.

Mereka ialah Mohd Ahmad Mohd Hamdan yang berusia empat bulan, serta abangnya Muhd Mustaqim dan Mohd Aiman yang berusia lima dan tujuh tahun.

Empat lagi mangsa adalah Khairunnisa Muhamad, 14 dan Nor Shuhada Mohamad, 16, serta Wallace Phang, 7 dan Alvin Phang, 12.

Sumber berkata, kejadian itu berlaku apabila pacuan empat roda terbabit berundur selepas kapasiti feri ketika itu penuh.

“Berdasarkan maklumat saksi, kenderaan itu tiba-tiba meluncur ke arah sungai lalu terjunam dalam arus yang agak deras,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang ramai yang menyedari kejadian itu berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap, namun ketika dikeluarkan semuanya sudah tidak sedarkan diri.

Semua mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Beladin sebelum kematian disahkan Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Beladin.

Leave a Reply