SHAH ALAM – Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemeriksa Kira-Kira Surau Ar-Rayyan di Seksyen 27, di sini, meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh awal pagi tadi.
Menerusi satu perkongsian di Facebook (FB) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Allahyarham Rosliman Osman, 60, dikatakan baru saja melaungkan dua rangkap dari kalimah azan sebelum tiba-tiba terhenti sekali gus menimbulkan tanda tanya penghuni pangsapuri Sri Ixora.
Difahamkan arwah yang mesra dipanggil Abang Man oleh penduduk di situ hanya sempat melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ serta ‘Syahadah’.
“Seluruh penghuni pangsapuri pelik kenapa azan Subuh dari Surau Ar-Rayyan cuma kedengaran dua rangkap dari kalimah yang mulia dan kemudian terhenti.
“Kemudian terdengar suara cemas di pembesar suara, seorang AJK lain membuat pengumuman meminta ahli keluarga arwah turun ke surau dengan kadar segera dan kelihatan ambulans tiba. “Setibanya di ruang solat surau, kelihatan sekujur tubuh kaku terbaring di ruang azan. Abang Man sudah kembali bertemu Penciptanya dalam keadaan semua orang beriman impikan,” katanya.
Menurut perkongsian itu lagi, seorang jemaah yang rapat dengan arwah menceritakan bahawa arwah bersungguh mahu menjayakan majlis kesyukuran rakan mereka, Ustaz Sahari yang baru saja keluar dari hospital.
“Arwah kelihatan gembira dengan rancangan itu serta menawarkan diri untuk menyediakan kopi o pada majlis berkenaan. Tidak sangka Allah panggil arwah dalam keadaan sangat-sangat kami cemburu.
“Paling kami terkejut hari ini adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan juga sangat teruja untuk azan Subuh walaupun beliau bukan bilal surau.
“Allah sayang Abang Man lebih dari kami semua. Abang Man pernah berseloroh, kita jaga amanah surau ni bukan untuk kita sekarang, tapi gunanya bila kita kat (dekat) sana nanti. Moga Allah pilih Abang Man menjadi penghuni Al-Firdaus. Allah Maha Mengetahui,” katanya.
Leave a Reply