Kota Bharu: Penghidap kanser pangkal hidung tahap empat, Abdul Halim Mat Hassan, 27, meninggal dunia di sisi keluarga pada 1.40 tengah hari tadi di rumahnya di Kampung Kok Kiak, Machang.
Menurut adiknya, Nur Aishah Mat Hassan, 21, empat hari lalu, arwah abangnya itu dimasukkan ke Hospital Machang selepas mengadu sesak nafas serta sakit badan sebelum dibenarkan keluar dari hospital semalam.
Katanya, kesihatan arwah abangnya itu mula merosot sejak tiga tahun lalu selain dia juga kerap keluar masuk hospital.
“Walau bagaimanapun, pada awal tahun ini, sel kansernya semakin aktif sehingga merebak ke bahagian organ dalaman.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah kerana selama empat tahun arwah bertahan dan melawan penyakit kanser pangkal hidung yang dideritai,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Nur Aishah berkata, dia tidak sanggup melihat penderitaan arwah abangnya selain berat badannya juga semakin susut sehingga menampakkan tulang.
“Saya menganggap arwah abang adalah insan yang terpilih kerana meninggal dunia pada bulan Ramadan,” katanya.
Katanya, jenazah abangnya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Kiak.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, Abdul Halim yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat, memelihara dan menjual arnab sejak dua tahun lalu demi kelangsungan hidup selain membayar hutang PTPTN.
Abdul Halim disahkan menghidap kanser pangkal hidung pada Disember 2017 dan selepas kesihatannya semakin merosot, dia terpaksa memelihara dan menjual arnab disebabkan penyakit dihidapi menyukarkannya bekerja di luar rumah dan pergerakan terbatas.
Susulan daripada itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memaklumkan untuk memberi pengecualian bayaran balik kepada Abdul Halim yang berjumlah RM26,000.
Pengurus Besar PTPTN Negeri Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat hadir ke rumah Abdul Halim untuk menyerahkan surat pengecualian pembayaran balik PTPTN sambil disaksikan kedua ibu bapanya, Mariah Ismail, 61, dan Mat Hasan Hamad, 63.
Dalam masa sama, Abdul Halim juga pernah diraikan oleh UMK yang mengadakan konvokesyen mini dengan penuh adat istiadat dirumahnya pada Disember 2019.
Leave a Reply