SEREMBAN – Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai Muafakat Nasional (MN) mendapat maklum balas kurang baik daripada ahli UMNO peringkat akar umbi, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliu berkata, berikutan itu isu berkenaan akan dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat Biro Politik UMNO secepat mungkin sebelum dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Katanya, pandangan semua pihak perlu diambil kira memandangkan isu berkenaan adalah satu keputusan besar buat parti itu.
“Nampaknya tak berapa baiklah (isu PPBM mahu sertai MN) rata-rata (pandangan akar umbi) tidak berapa baik jadi saya akan bawa perkara ini secepat mungkin dalam Biro Politik UMNO dan akan dibawa dalam Majlis Tertinggi (MKT) UMNO.
“Kalau dalam Majlis Tertinggi (MKT), ia (akan menjadi) keputusan parti jadi biarlah parti buat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Merdeka@komuniti Peringkat Seremban di Rantau hari ini.
Sabtu lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.
Leave a Reply