SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut, manakala ibunya parah selepas motosikal ditunggangi dilanggar lori di kilometer 4 Jalan Mawai-Kuala Sedili, di Kota Tinggi, pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian 11.55 pagi itu, dua beranak yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda itu dalam perjalanan dari arah Kuala Sedili menghala ke arah Mawai.
Katanya, secara tiba-tiba motosikal mangsa dilanggar dari arah belakang lori Nissan yang datang dari arah sama.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 21 tahun parah, manakala kanak-kanak yang membonceng meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kota Tinggi, manakala pemandu lori serta kelindan membabitkan lelaki tempatan masing-masing berusia 21 dan 25 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply