SHAH ALAM- Anak kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meninggal dunia pada awal pagi Sabtu.
Hammad Zulkifli, 22, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.22 pagi Sabtu di sisi ahli keluarga.
Zulkifli dalam perkongsian di Facebook berkata, amat sedih dengan pemergian ini.
“Air mata deras mengalir menyaksikan sendiri Hammad menghembuskan nafas terakhir di sisi Abah. Abah sekeluarga sejujurnya amat sedih atas perpisahan ini.
Jutaan terima kasih kepada semua yang banyak membantu kami menguruskan Hammad dari awal, sehinggalah ke liang lahad. Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap di pihak anakanda saya, Hammad.
“Insya-ALLAH, solat jenazah akan dilaksanakan pada jam 9.45 pagi di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya.
Sementara itu, Zulkifli memaklumkan, program Jalsah ‘Ilmiyyah yang dikendalikannya pada pagi Ahad, jam 9 pagi akan diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anaknya yang dijadualkan pada jam 9.45 pagi.
Jelasnya, kemuliaan ilmu tidak ada galang gantinya.
“Al-Hafiz al-Munziri (wafat 656H) terkenal sebagai salah seorang ulama yang begitu tekun dengan ilmu. Beliau sesekali tidak akan meninggalkan madrasahnya untuk apa jua tujuan walaupun untuk berehat. Hidupnya hanya diwakafkan untuk ilmu.
“Ada kisah yang diriwayatkan oleh Al-Imam Tajuddin al-Subki berkenaan kewafatan anak kepada Al-Hafiz al-Munziri. Beliau solat jenazah untuk anaknya di dalam madrasah dan menghantar jenazah hingga ke muka pintu.
“Beliau lalu berkata ‘Wahai anakku, aku tinggalkan dirimu kepada Allah Ta’ala’. Lalu beliau kembali masuk ke dalam untuk menekuni ilmu.
“Betapa ulama silam memuliakan ilmu walaupun anaknya meninggal dunia. Atas asas ini, saya teruskan kuliah pada pagi ini,” ujar beliau.
Leave a Reply