PKR secara rasmi mengumumkan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik akan bertanding di kerusi DUN Layang-Layang bagi PRN Johor.
Pengumuman itu dibuat semasa majlis pengumuman calon PKR bagi bahagian selatan Johor hari ini.
Maszlee adalah satu-satunya calon bagi kerusi di wilayah tengah Johor yang diumumkan oleh presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Bagi yang lain – timur dan tengah, biar ada saspen supaya ramai bekerja lebih keras,” katanya kepada ahli parti pada majlis yang diadakan di bilik gerakan PKR Rengit untuk mengumumkan calon untuk wilayah tengah.
Selain itu katanya, pengumuman untuk kerusi di wilayah timur Johor malam ini juga ditangguhkan.
Pengumuman pencalonan Maszlee pada mulanya dijadualkan pagi ini, di mana Anwar turut mengumumkan lima calon bagi kerusi di wilayah selatan Johor.
Bagaimanapun, pengumuman Maszlee ditangguhkan berikutan keputusan untuk tidak mengumumkan sebarang calon lain untuk wilayah tengah.
Semalam, PKR Johor mengeluarkan jemputan memaklumkan kesemua 20 calon akan diumumkan hari ini.
Bagaimanapun, berlaku perubahan pada saat-saat akhir.
Anwar pada mulanya dijangka mengumumkan calon-calon bagi wilayah utara malam ini.
Ketika ditemui pemberita, Maszlee mengambil maklum yang pencalonannya di sebalik amalan PKR untuk tidak meletakkan ahli parlimen bertanding di kerusi DUN.
Bagaimanapun dia berkata akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi itu, dengan bantuan jentera parti di bawah parlimen Simpang Renggam.
“Sama ada saya terlibat dengan DUN atau tidak, tekad kita memang untuk menangkan PH di Johor, terutama calon-calon PKR.
“PRN kali ini, kita akan lakukan pendekatan di luar kotak, tidak konvensional kerana keadaan yang berbeza dan demi memastikan apa yang kita impikan agar Johor kembali bangkit, maju, bermaruah,” katanya lagi.
Dia turut menyebut sekali lagi hasrat PKR untuk menjadikan Johor sebagai hab ekonomi di rantau Asean dengan kerjasama terutama dengan Indonesia, Singapura dan Brunei.
Leave a Reply