SEREMBAN: Allahyarham Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Johor yang meninggal dunia pagi tadi selepas terlibat dalam letupan ketika operasi memadam kebakaran kelmarin sempat meraikan hari lahir isterinya, Nurul Jannah Abd. Hamid Khan, 29, pada 9 Disember lalu.
Menurut Nurul Jannah, kebiasaannya, suaminya itu meraikan hari jadinya hanya selepas beberapa hari namun tahun ini agak berbeza.
“Dalam seminggu ini dia banyak berdiam diri cuma baru-baru ini pada 9 Disember adalah hari lahir saya, dia menyambutnya dengan agak meriah, sebelum ini selepas beberapa hari baru akan sambut, tetapi kali ini malam itu kami sudah menyambutnya dan dia nampak beria-ia.
“Seperkara lagi, pada bulan ini juga kami akan masuk rumah baharu di Segamat, perancangannya begitu tetapi tidak sempat,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan di sini.
Sementara itu, tambah Nurul Jannah, sebelum kejadian letupan itu dia ada menelefon Allahyarham, untuk menghantar makanan pada pagi kejadian.
“Dia (arwah) kata tidak tahu akan balik lagi atau tidak, sedangkan makanan itu sudah dibeli dan kebetulan saya berada dekat balai (bomba). Selepas itu baru dapat tahu kejadian letupan (melibatkan suami),” katanya.
Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Firdaus pada 2017 turut memberitahu, sempat mengajar arwah suaminya mengucap kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital.
“Buat masa, ini anak perempuan kami, Aisy Alisha Mohd. Firdaus, 3, belum tahu ayahnya sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara ibu Mohd. Firdaus, Noorlina Abdullah, 64, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada 4 Disember lalu yang pulang ke rumah keluarga di Sikamat di sini bagi menyambut ulang tahun perkahwinan dia dan suami.
“Dia (arwah) baik dengan adik-beradik semua tidak berkira dan paling sayang seorang adiknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), dia kata nak jaga adik tapi dia pergi dulu,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi, Sabtu lalu, Mohd. Firdaus dan anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40 cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba, Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52 melecur dalam kejadian itu.
Mohd. Firdaus meninggal dunia di Hospital Segamat pada pukul 4.15 pagi tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan di sini kira-kira pukul 12,30 tengah hari tadi.
Turut hadir pada majlis pengebumian tadi, ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.
Sementara itu, Yahaya menyifatkan Allahyarham merupakan seorang anggota yang sangat berdedikasi dan pasukan bomba begitu terasa akan kehilangannya.
“Pihak jabatan, kami telah memberikan bantuan awal khairat kebajikan yang disertai Allahyarham dan insya-Allah akan menyusul bantuan-bantuan lain daripada jabatan.
“Ketua Pengarah JBPM juga bersetuju untuk Allahyarham diberikan kenaikan pangkat secara posthumous daripada pangkat Keselamatan Bomba (KB)19 ke KB 22,” katanya.
Leave a Reply