IPOH: Balu kepada Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan mendedahkan, arwah suami kelihatan sangat gembira pada malam pemergiannya, semalam.
Kongsinya, arwah bercerita kepada rakannya ada dua kawan lama berjubah putih mahu bertemunya pada malam itu.
Hasmah berkata, arwah tidak menunjukkan perubahan begitu ketara, hanya kelihatan sangat gembira.
“Tiada perubahan, cuma arwah kelihatan begitu gembira. Ada rakan bercerita, arwah beritahu ada dua orang rakan lama mahu bertemunya.
“Arwah nampak dua rakannya berjubah putih datang dan gembira nak berjumpanya,” katanya kepada BH Online.
Hasmah ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid yang menyantuni dan menyampaikan sumbangan di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1, di sini, petang ini.
Justeru, Hasmah berkata, mereka sekeluarga tertanya-tanya mengenai apa yang diceritakan arwah.
“Kami tidak tahu dan tertanya-tanya siapa dua rakan yang dimaksudkan arwah. Padahal, rakannya itu beritahu, dia tidak nampak sesiapa menemui arwah di situ,” katanya.
Katanya, arwah tidak menunjukkan sesuatu luar biasa sebelum pemergian.
“Arwah tidak pernah cakap pun, ‘nanti kalau i tiada’… Mungkin arwah tak mahu saya susah hati.
“Beliau banyak menulis dan duduk di pejabat, sejak akhir-akhir ini. Saya faham apabila arwah sedang menulis skrip tidak boleh diganggu, jadi saya hanya membiarkannya. Apabila nak makan saya hantar makanan,” katanya.
Hasmah berkata, dia masih terkejut atas pemergian arwah hingga saat ini.
“Saya sudah mula merindui arwah. Saya akui terkejut kerana arwah sihat dan nampak gembira sangat pada malam pemergiannya.
“Arwah sempat siapkan skrip, pelakon dan kru produksi untuk penggambaran sekuel Kampung Pisang pada 31 Oktober ini.
“Saya bersyukur semua pelakon bersetuju membantu anak keempat, Mohd Khalid Amen menggantikan tempat arwah.
“Saya harap anak boleh melunaskan kerja yang belum siap sebab sekuel Kampung Pisang adalah karya terakhir arwah mahu laksanakan, tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, penggambaran sekuel Kampung Pisang ditangguhkan buat sementara waktu.
“Insya-Allah, kami mahu berehat selama dua minggu sebelum menyelesaikan sekuel Kampung Pisang.
“Saya dan arwah sudah pergi meninjau lokasi di Manjung dan Kuala Kangsar.
“Ramai peminat tunggu sekuel Kampung Pisang dan 19 Puasa. Arwah pernah beritahu mengenai apa yang ingin dilakukan, jadi saya dan anak-anak akan cuba melunaskan impian arwah,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam.
Beliau pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Jenazah disolatkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh selepas Zohor.
Leave a Reply