PETALING JAYA – Seorang imam masjid di Masjid Tun Abd Aziz di Seksyen 14, di sini sempat berpesan kepada isteri dan anak-anaknya supaya tidak meninggalkan solat dan istiqamah membuat kebaikan sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung pada Oktober lalu.
Isterinya, Mahirah Che Husin, 36, berkata, pesanan itu diluahkan Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah, 39, sering diulanginya beberapa kali kepada mereka seolah-olah petanda ajalnya bakal tiba.
Mahirah berkata, arwah meninggal dunia ketika mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk melawat rumahnya di Machang, Kelantan pada 15 Oktober lalu setelah kebenaran merentas negeri diumumkan.
Mahirah menceritakan detik cemas ketika arwah suaminya tiba-tiba diserang sakit jantung pada 19 Oktober lalu, hari sama mereka ingin pulang ke rumah di Seksyen 14, di sini.
“Sekitar jam 1 petang hari itu (19 Oktober) ketika arwah sedang memasang langsir di rumah, tiba-tiba dia mengadu sakit belakang.
“Tidak lama kemudian rasa sakit itu berpindah ke bahagian dada, tidak lama kemudian sekitar 15 minit menahan kesakitan, arwah meninggal di rumah tersebut sebelum ambulans sempat tiba,” kongsinya.
Dia berkata demikian ketika dilawat oleh Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad di rumahnya di Seksyen 14, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, arwah yang juga Johan Qari Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58 pada 2016 itu dikebumikan bersebelahan kubur ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Banggol, Kota Bharu.
Arwah turut meninggalkan Mahirah bersama enam orang anak dalam lingkungan usia setahun hingga 15 tahun.
Apabila ditanya tentang perancangan masa terdekat, Mahirah berkata, buat masa ini dia akan tinggal di sini kerana ramai ahli keluarganya dan keluarga mertua tinggal di Selangor.
“Anak-anak saya masih bersekolah di sini, majoriti keluarga saya dan keluarga arwah juga di sini.
“Ibu, ayah saya dan arwah juga telah tiada, jadi jika kami pulang ke kampung pun hanya sekadar melepaskan rindu sahaja,” katanya.
Turut hadir ketika lawatan tersebut di sini pada Selasa ialah Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu.
Dalam perkembangan lain, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya yang mengetahui tentang kematian arwah Wan Ainuddin Hilmi pada 19 Oktober segera melakukan semakan terhadap keluarga waris tersebut.
Katanya, hasil semakan mendapati pihak masjid membuat caruman Perkeso di bawah Akta 4 untuk pihak arwah dan melayakkan keluarga waris menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat sebanyak RM980.50 sebulan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak masjid yang mencarum bagi pihak arwah, jadi kita harap semua masjid yang memberi elaun kepada kakitangan masjid untuk mencarum supaya mendapat manfaat daripada Perkeso.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, hampir 3,000 keluarga dibantu melibatkan pelbagai kes seperti kematian ahli keluarga, kemalangan ketika bekerja, sakit kronik dan sebagainya di Malaysia setakat Oktober lalu.
Ujarnya, Skuad Prihatin Perkeso tidak menunggu orang untuk dapat ke pejabat bagi mendapatkan bantuan, sebaliknya mereka akan mencari waris untuk dibantu berkenaan urusan berkaitan Perkeso.
“Kita dapatkan maklumat daripada media sosial dan Skuad Prihatin akan menjalankan siasatan untuk membantu keluarga mangsa yang terlibat yang mengalami kematian ahli keluarga, kemalangan dan sebagainya.
“Namun jika didapati mereka tidak layak menerima manfaat daripada Perkeso, ktia akan salurkan maklumat kepada agensi-agensi lain seperti rakan-rakan strategik, Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mereka,” katanya.
Leave a Reply