Blog Berita Online

Berita Utama

‘Pergi dalam usia yang cantik, amal ilmu yang cantik’ – Pelakon Ali Setan, Azmil Mustapha meninggal dunia

“Mati ketika berdakwah sesuatu yang ajaib kerana ia mati di jalan Allah. Impian saya mahu mati ketika berdakwah… Itu idaman saya.”

Kata-kata itu pernah diluahkan bintang filem era 1980-an, Azmil Mustapha dalam suatu wawancara bersama Harian Metro (HM), suatu ketika dulu.

Hari ini, pada tarikh 14 Februari, kira-kira jam 12.40 tengah hari, Allahyarham pulang ke negeri abadi pada usia 65 tahun.

Perginya ke pangkuan Ilahi dengan gelaran ustaz dan pendakwah bebas, bukan sebagai aktor pujaan ramai.

Azmil atau nama sebenarnya, Mohd Azmil Mustapha Kamil dilahirkan pada pada 1 Januari 1953 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mula diperkenalkan menerusi filem Mekanik pada 1983 yang turut dibintangi bintang legenda bola sepak, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, bakat besar Azmil mula membuka mata penggiat seni.

Siapa dapat melupakan kenakalan watak Ali menerusi filem yang mencetuskan fenomena, Ali Setan pada 1985 dan Ali Setan 2 (1986), berganding dengan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Seterusnya, Azmil membintangi filem Suara Kekasih pada 1986, Kepala Angin (1987), Driving School (1990), XX Ray 2 (1995), Iman Alone (1998), Hanya Kawan (1997) dan terakhir, Puteri Gunung Ledang pada 2004.

Azmil juga pernah berlakon dalam filem luar negara iaitu Fifty Fifty terbitan produksi Amerika Syarikat (AS) dan tiga filem usaha sama Malaysia-Indonesia iaitu Madu Dan Racun, Gadis Hitam Putih dan Dewi Cinta.

Diangkat sebagai Aktor Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) keenam pada 1986 menerusi filem Ali Setan, Azmil adalah bekas graduan Universiti Indiana, Bloomington, AS.

Lima tahun berkelana di luar negara, Azmil membawa pulang segulung ijazah sarjana muda dalam jurusan filem, radio dan televisyen (TV) pada 1979.

Bagaimanapun, sekembali dari AS, nasib tidak menyebelahinya apabila negara dilanda kegawatan ekonomi.

Berikutan itu, Azmil bekerja dengan syarikat Showmaster milik penganjur persembahan, Ali Bakar. Selama dua tahun menimba pengalaman, Azmil mengambil keputusan aktif sebagai pelakon sepenuh masa.

Namun, pada awal 1990-an, Azmil mengambil keputusan tidak lagi hidup glamor sebagai bintang filem. Allahyarham mahu mengutamakan kehidupan keluarga selain mula mendekatkan diri dengan perjuangan agama.

Azmil pernah mengembara ke beberapa negara termasuk Syria bagi mendalami ilmu agama.

Walaupun bersara ketika namanya masih berada di kemuncak, Azmil kali terakhir dilihat beraksi di layar perak menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 2004, selepas dipujuk sahabat lamanya, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Allahyarham berdepan dengan dua kegagalan rumah tangga namun masih menjalin hubungan baik dengan bekas-bekas isterinya.

Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Shamira. Manakala bersama isteri kedua, beliau dikurniakan empat anak iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri dan Nur Alia Iman.

Leave a Reply