Blog Berita Online

Berita Utama

Bapa ditemui lemas ketika cuba selamatkan anak

KEMAMAN – Pengorbanan bapa sampai hujung nyawa.

Kata-kata itu tepat bagi menggambarkan tindakan seorang buruh yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan anak lelakinya yang hampir lemas di Lubuk Tapeng, Sungai Kemaman berhampiran Kampung Air Putih di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, ditemui pada pukul 10.23 pagi semalam kira-kira 16 jam selepas hilang dibawa arus deras sungai berkenaan.

Menurut isteri mangsa, Haryati Sulaiman, 36, berkata, luluh hatinya melihat kesungguhan suaminya yang mahu menyelamatkan anak mereka, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang hampir lemas di lubuk tersebut pada pukul 1.45 tengah hari kelmarin.

“Kami sepatutnya pulang ke rumah di Kampung Batu 9, Ibok di sini selepas suaminya selesai memancing, tetapi dia tidak sampai hati melihat anak-anak masih belum puas mandi sungai.

“Tidak semena-mena anak kami (Muhammad Zafran Aidil) dihanyutkan arus hingga ke te­ngah sungai. Suami bingkas terjun untuk menyelamatkan Muhammad Zafran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.

Cerita Haryati, pada mulanya, suaminya dapat memaut badan Muhammad Zafran Aidil dan membawa anak mereka ke tebing sebelum dia pula dilihat kepenatan.

“Saya nampak suami tercu­ngap-cungap sebelum tenggelam dalam sungai. Anak kami pula sempat berpaut pada dahan sebatang pokok yang terdapat di tebing sungai tersebut.

“Saya segera berlari meminta pertolongan daripada penduduk kampung sebelum pihak berkuasa sampai tidak lama kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superinten­dan Hanyan Ramlan membe­ritahu, mayat Mohd. Mirwan yang merupakan buruh ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi terakhir dia hilang.

Mayat lelaki itu timbul di permukaan air selepas pasukan mencari dan menyelamat me­lakukan teknik kocakan air de­ngan olakan bot.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

Leave a Reply