KUALA TERENGGANU – Bayi lelaki yang pernah tular tahun lalu kerana penyakit saraf dan ibunya yang sarat hamil kembar meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Setiu dekat sini, semalam.
Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman yang berusia setahun 10 bulan dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Setiu.
Sementara ibu bayi itu, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang sedang sarat hamil kembar meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan itu berlaku di Kilometer 83, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, Setiu pada pukul 4.40 petang.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang dinaiki keluarga tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu dari Chiku, Gua Musang, Kelantan.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan Perodua Alza itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Sebuah lori treler tangki minyak yang berada di laluan berkenaan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Afandi berkata, kemalangan itu turut menyebabkan dua beradik Sayyid Uwais Al-Qarni iaitu Nur Qaireen Luffiya, 5, dan Sayyid Lutfi, 7, masing-masing patah kaki kiri dan tangan kiri.
Tambah beliau, suami Fatin Hazlin Dahlia iaitu Mohd. Lekman Zakaria, 36, pula cedera ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN
Leave a Reply