Blog Berita Online

Hiburan

Bella Astillah sedih tak dapat tatap jenazah datuk buat kali terakhir

PELAKON dan penyanyi Bella Astillah menyuarakan rasa sedih kerana tidak berpeluang untuk menatap wajah datuk kesayangan yang pergi buat selama-lamanya, hari ini.

Menerusi hantaran di Instagram, Bella atau nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah memberitahu datuknya yang dipanggil Lolo meninggal dunia di Sabah, pada usia 70 tahun.

“27 Mac 1951 hingga 17 September 2021. Innalillahiwainnailaihiraji’un. Al-Fatihah (dibaca). Lolo atau Atuk saya telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi pada hari Jumaat yang mulia,” tulisnya ringkas.

Menerusi hantaran itu juga, Bella memuat naik rakaman panggilan video bersama beberapa ahli keluarga lain ketika datuknya terbaring di atas katil hospital dengan memakai alat bantuan pernafasan.

Dalam hantaran berbeza, Bella yang juga isteri kepada penyanyi Aliff Aziz memberitahu dia kini berada di negeri kelahirannya, Sabah atas urusan kerja tetapi tidak dapat bertemu dengan arwah datuknya disebabkan situasi pandemik.

“Tak sangka Lolo pergi buat selama-lamanya. Walaupun kami duduk dekat, tapi tidak boleh berjumpa sebab keadaan kita sekarang,” katanya.

Kata Bella, jenazah datuknya masih berada di jabatan forensik dan keluarganya dibenarkan mengambil jenazah sekiranya keputusan saringan Covid-19 adalah negatif.

Bagaimanapun, dalam hantaran tersebut Bella meluahkan rasa kesal serta kecewa kerana tidak dapat melihat jenazah buat kali terakhir.

“Sampai bila macam ini. Adakah sistem akan berterusan seperti ini sampai bila-bila. Hanya boleh tengok saat-saat akhir dia melalui panggilan video. Tak dapat peluk dan cium. Allahuakbar.

“Tapi sebelum pandemik, saya dan Aliff dapat bawa dia ke Kuala Lumpur. Bawa bercuti ke Genting Highlands. Masya-Allah. Kami rindu betul. Allah SWT lebih menyayangimu. Semoga lolo ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. – Malaysiapost

Leave a Reply