Berita Utama

Bincang saat indah diijab kabul di bilik hotel

BERBINCANG mengenai detik bahagia diijab kabul sebagai pasangan suami isteri sah, tetapi ia diadakan di dalam bilik hotel tanpa dihadiri orang lain.

Ia alasan diberikan pasangan kekasih berusia 22 tahun ketika diperiksa sebelum ditahan dalam Operasi Cegah Kesalahan Syariah Sempena Ambang Merdeka 2020 di Ujong Pasir dan Bandar Hilir, Melaka, serta Tanjung Bidara, Alor Gajah antara 12.15 tengah malam hingga 4 pagi hari ini.

Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Akmal Nazim Abdullah berkata, ketika pintu bilik hotel mereka diketuk, pegawai JAIM terpaksa menunggu agak lama sebelum pintu dibuka lelaki yang berpakaian lengkap.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam bilik hotel di Bandar Hilir itu mendapati seorang wanita berusia berusia 22 tahun duduk di atas katil dalam keadaan berpakaian lengkap.

“Lelaki itu berasal dari Melaka, tetapi bekerja di Kuala Lumpur manakala pasangannya berasal dari Bestari Jaya, Selangor dan mengusahakan perniagaan dalam talian di ibu kota.

“Mereka mendakwa sudah menghadiri kursus perkahwinan dan merancang bernikah serta mengadakan majlis wali matul urus hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mereka datang ke Melaka pagi semalam untuk menyambut Hari Kebangsaan dan di hotel berkenaan dengan alasan untuk berbincang hal perkahwinan.

Katanya, selain pasangan terbabit, turut ditahan ialah empat lelaki dan pasangan mereka berusia antara 20 hingga 54 tahun.

Antara alasan mereka ialah keletihan selepas meraikan sambutan Hari Kebangsaan di bandar raya ini.

“Oleh sebab terlalu penat berjalan ketika mengikuti program sambutan kemerdekaan, mereka tidak sempat pulang ke rumah dan terpaksa bermalam di hotel di bandar raya ini.

“Semua yang ditahan itu dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut dan proses jaminan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan kesalahan bersekediaman atau berkurung atau berkhalwat yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!