Blog Berita Online

Berita Utama

Budak dua tahun korban pertama banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Seorang budak perempuan berusia dua tahun, menjadi korban pertama banjir di Terengganu, selepas ditemukan lemas di halaman rumah keluarganya di Kampung Apal, Besut, petang tadi.

Mangsa, Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan, dipercayai terjatuh kira-kira jam 3 petang, sebelum ditemui tidak bernyawa oleh penduduk kampung pada jarak 20 meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata kejadian itu disedari ibu saudara mangsa ketika bersiap untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, mangsa dikatakan keluar bersendirian melalui pintu dapur sebelum terjatuh di dalam air banjir lalu dihanyutkan arus.

“Mangsa dijumpai terapung oleh penduduk kampung kira-kira jam 3.40 petang di dalam parit berhampiran rumah pada jarak 20 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut. Ketika kejadian, kedalaman air di sekitar rumah dianggarkan mencecah hampir satu meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rohaimi turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap keselamatan anak-anak sepanjang musim monsun timur laut (MTL).

Beliau berkata, ia bagi mengelak musibah seperti dicegah daripada berulang.

Leave a Reply