Blog Berita Online

Berita Utama

Bayi 17 bulan maut dipatuk ular ketika bermain dalam bilik

Rembau: Kanak-kanak lelaki berumur setahun maut dipatuk ular di dalam bilik di rumah keluarga di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Hazri Mohamad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam, ketika Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, 1, bermain bersama abangnya di bilik tidur utama.

Katanya, siasatan mendapati mangsa yang juga anak bongsu tinggal bersama ibu, nenek dan abangnya.

“Ketika kejadian, mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun di bilik tidur utama. Ibu mereka turut berada di bilik berkenaan.

“Tiba-tiba ibu mangsa terdengar jeritan anak bongsunya dan melihat seekor ular menyusur keluar ke dalam lubang bilik.

“Wanita itu kemudian memeriksa anaknya dan mendapati kesan patukan ular di tapak tangan kiri kanak-kanak terbabit.

“Ibu mangsa membawa anak bongsunya ke Hospital Rembau namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazri berkata, selepas dimaklumkan pihak hospital mengenai kematian anaknya, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis pagi ini.

Leave a Reply