Berita Utama

DAP kurang setuju benarkan orang ramai menjaja sesuka hati di Kuala Lumpur

Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok menyifatkan kenyataan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa yang membenarkan rakyat Malaysia membuka gerai dan berniaga dalam kawasan Wilayah Persekutuan sebagai satu kenyataan yang bahaya.

Menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, kenyataan itu akan memberi kesan yang lebih buruk pada masa hadapan kerana ia membuka ruang kepada orang ramai melanggar undang-undang dan peraturan kerajaan tempatan.

Katanya, ini mungkin akan menjadikan banyak tempat di Kuala Lumpur kucar-kacir kerana ramai orang akan menjadi penjaja tanpa lesen yang membuka meja dan berniaga di tepi jalan dengan sewenang-wenangnya.

“Beliau (Annuar) seolah-olah menganggap ketiga-tiga wilayah persekutuan di bawah kementeriannya adalah kawasan Parlimen Ketereh di Negeri Kelantan dan beliau seolah-olah adalah Yang DiPertua kerajaan tempatan di Ketereh.

“Saya bimbang ini akan membuka satu “flood gate” yang menggalakkan ramai orang di Kuala Lumpur dan Putrajaya melanggari undang-undang dan peraturan kerajaan tempatan,” ujarnya.

Terdahulu, Annuar berkata, inisiatif itu dibuat bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia saja.

Katanya, menerusi inisiatif baharu ini, penduduk Wilayah Persekutuan dibenarkan berniaga termasuk makanan, pakaian dan apa saja jenis perniagaan sehingga 15 April tahun depan.

Annuar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta mengeluarkan garis panduan dalam tempoh terdekat mengenai tatacara perlu dipatuhi orang ramai yang mahu berniaga kelak.

Katanya, syarat dikenakan lebih mudah, iaitu lokasi tidak boleh mengganggu lalu lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!