Berita Utama

Demi kuasa, Shafie Apdal sanggup adakan PRN walaupun Covid-19 semakin menular

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan beliau sanggup mati kerana mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika pandemik Covid-19 masih berlaku, berbanding membiarkan kerajaan pimpinannya dirampas parti lawan.
I
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyatakan beliau sedar ramai mengkritik keputusan melaksanakan PRN pada masa ini, namun jelasnya pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) mampu menghalang penularan Covid-19.

“PRN kali ini kita perlu patuhi SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Sabah, kita ada Command Centre yang akan memaklumkan bagaimana cara berdepan PRN kerana takut ada terjangkit.

“Saya tahu ada yang kritik, tapi daripada serah kuasa begitu saja kepada mereka (parti lawan), saya sanggup mati… kalau di Singapura boleh diadakan, di Chini, di Slim minggu depan, di Korea pun ada PRU, kenapa PRN Sabah tidak boleh.

“Saya tahu, kalau mereka (parti lawan) tidak kacau tiadalah PRN… tetapi kita akan pastikan patuhi SOP,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi Warisan, petang tadi.

Mengakui ada kebimbangan berhubung kemungkinan jumlah pengundi berkurangan disebabkan Covid-19, beliau menjelaskan pihaknya akan berusaha memastikan pengundi keluar mengundi tanpa perlu rasa takut menerusi SOP yang akan dilaksanakan.

Sementara itu, Mohd Shafie yakin gabungan parti pimpinannya mampu menambah kekuatan pada PRN kali ini.

Beliau menyatakan, ia berdasarkan pencapaian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang didakwa jauh lebih baik jika tiada penyelewengan terhadap keputusan pengundian di beberapa kawasan.

“Saya yakin kita boleh tambah kekuatan kita. Mengikut PRU lalu pun kita menang, bukan disebabkan lompat saja kita menang, tapi ada lah sebab dia.

“Antaranya kotak-kotak kira undi mengambil masa yang lama, kira undi sampai jam 4 pagi. Berapa juta undi mau kira sampai empat pagi. Contohnya di Putatan, dulu kira sampai jam tiga pagi, lapan jam sedangkan hanya ada kira-kira 30,000 undi saja.

“Ada yang kira tiga empat kali, dua kali kalah, tiga kali kalah, tapi kali keempat menang,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sasaran kemenangan pada PRN itu nanti.

“Kita tidak dapat beri target (sasaran), tapi yakin boleh menang, yang penting mengundi… saya tidak boleh cakap target,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaan itu, beliau berkata ia tertumpu kepada penjelasan mengenai keperluan mengadakan PRN sebagai langkah terbaik menyerahkan semula kuasa memilih kerajaan kepada rakyat.

Katanya, perjumpaan itu turut menyentuh mengenai senarai calon di setiap kawasan yang akan ditandingi Warisan yang perlu disediakan dalam tempoh yang singkat.

Mengenai pemilihan kerusi mengikut parti, Mohd Shafie menjelaskan ia dilakukan berdasarkan parti mana yang memenangi kerusi ditandingi pada PRU lalu, selain berlandaskan kekuatan calon boleh menang, berwibawa dan tidak melompat parti.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!