Blog Berita Online

Berita Utama

Disewa RM150 sebulab, rumah daif hampir roboh ‘istana’ buat lima beranak

KOTA BHARU – Luarannya seperti rumah terbiar berikutan keadaannya yang daif dengan dinding yang banyak berlubang serta binaan hampir menyembah bumi.

Namun, rumah yang berusia lebih 60 tahun yang terletak di Jalan Kebun Sultan itu, sebenarnya didiami lima beranak yang menyewanya sejak 16 tahun lalu pada kadar RM150 sebulan.

Buruh, Razali Mohd Nor, 55, berkata sewa itu tidak selalu dilangsaikan kerana kekangan kewangan yang dihadapi berikutan pekerjaannya sebagai buruh binaan tanpa pendapatan tetap.

“Alhamdulillah, pemilik rumah sangat memahami keadaan kami dan tidak memaksa bayaran sewa. Namun, kami tidak mengambil kesempatan atas kebaikan mereka, malah tetap membayar (sewa rumah) jika ada wang.

“Sebelum ini saya menjaja air di tapak Padang Bas, Jalan Pintu Pong, di sini, tapi sejak ia ditutup lebih 10 tahun lalu saya yang tiada sebarang kemahiran lain terpaksa menjadi buruh binaan dengan mengambil upah membancuh simen.

“Bayaran diberikan RM60 sehari tapi bukan setiap hari dapat peluang bekerja, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya ketika ditemui di rumah itu.

Keadaan dalam rumah itu hampir sama dengan luarannya yang mana lantainya banyak berlubang dan reput, malah tingkap juga tidak lagi berdaun, namun itu lah ‘istana’ buat Razali dan isteri serta tiga anaknya yang berusia 10 (kembar) dan 16 tahun.

Razali berkata, dia bukan tidak mahu mencari rumah sewa lain tapi mengenangkan sewanya yang di luar kemampuan menyebabkan dia terus bertahan, lagipun tiga anaknya juga bersekolah di sekitar kawasan itu.

“Setiap kali hujan lebat atau ribut, memang mencemaskan kami kerana sekitar rumah banyak pokok dan beberapa tahun lalu, dahan pokok petai jatuh menghempap bahagian hadapan bumbung,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Geng Tolong Orang (GTO) yang diwakili pengerusinya, Haslina Jamaluddin.

Haslina berkata, pihaknya akan cuba mencari dana untuk membantu membaik pulih rumah terbabit bagi memberi keselesaan buat keluarga itu.

“Sebaik dana diperoleh kami akan menukar zink dan menyalin dinding serta lantai termasuk yang sudah reput kerana keadaan itu agak berbahaya terutama di musim hujan yang bakal tiba ini.

“Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, boleh membuat sumbangan di akaun Maybank GTO 558284321547 atau menghubungi Razali menerusi telefon 011-23875366,” katanya.

Leave a Reply