Berita Utama

Dr Fatihah sedar dari koma, bayi juga dalam keadaan stabil

KUALA LUMPUR – Doktor hamil yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif COVID-19 ketika kandungannya berusia 29 minggu dilapor semakin stabil dan sedar dari koma.

Suaminya, Ahmad Nazri Jantan, berkata Dr Fatihah Shahrudin, 29, juga mula menunjukkan tindak balas yang baik biarpun masih ditempatkan di ICU.

“Alhamdulillah hari ni Dr Fatihah sudah mula sedar dan beri respons. Bayi juga dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini isterinya hari ini.

Hospital Sungai Buloh kelmarin memutuskan untuk menyegerakan proses kelahiran bayi berkenaan dalam usianya kira-kira tujuh bulan bagi mengelak sebarang komplikasi lebih buruk terutama selepas Dr Fatihah disahkan positif COVID-19.

Ahmad Nazri juga meminta semua pihak terus mendoakan keselamatan isterinya serta anak-anak yang ketika ini sedang menjalani kuarantin selepas turut disahkan positif COVID-19.

“Sedikit sebanyak semua pihak dapat membantu dalam mendoakan isteri saya supaya mendapat kesembuhan dan memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga,” katanya.

Selain Ahmad Nazri dan dua lagi anaknya, bapa dan ibu mentua serta adik Dr Fatihah juga dikuarantin di rumahnya selepas disahkan positif.

Kisah Dr Fatihah menarik perhatian netizen di media sosial yang tidak putus-putus berkongsi ciapan di Twitter serta Facebook, mendoakan supaya kedua-duanya selamat daripada COVID-19.

Dr Fatihah yang juga kakitangan Hospital Kajang mula dimasukkan ke hospital berkenaan pada 31 Mei lalu selepas dijangkiti kuman pada paru-parunya, sebelum disahkan positif COVID-19 sehari selepas itu, hasil saringan bergejala di hospital berkenaan.

Pada Khamis lalu, beliau dipindahkan ke ICU Hospital Kajang sebelum dihantar ke ICU Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lebih rapi, selain selamat melahirkan bayinya kelmarin.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!