PETALING JAYA – Selepas dua tahun bertahan dan mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19, pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Afdlin Shauki terpaksa akur selepas disahkan positif virus tersebut.
Khabar duka tersebut dikongsinya menerusi hantaran terbaru dalam Instagram sebentar tadi berserta paparan skrin status MySejahtera terkini.
“Maaf semua dah dua hari kena dan simptom makin menjadi cuma tiada sesak nafas lagi setakat ini.
“Maaf kalau tak dapat jawab panggilan atau balas mesej. Aku rasa Allah SWT mahu aku rehat sementara.
“Enam orang dari team (pasukan) aku kena selepas dua tahun lebih bertahan dari terkena Covid-19. Harap maaf atas kesulitan, tapi sekarang tiba masa untuk aku jaga diri aku,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan artis turut mendoakan agar pelakon filem Papadom itu bertabah dan segera sembuh seperti sedia kala.
“Cepat sihat semoga dipermudahkan segalanya untuk abang.
“Tiba masa untuk abang rehat, penat sangat kerja. Tuhan mahu abang rehat dulu sekejap. Semoga semua dipermudahkan,” tulis netizen.
Terdahulu, beberapa selebriti tanah air antaranya Aishah, Iman Suhana, Intan Ladyana, Nabila Razali, Aprena Manrose dan Ariff Bahran turut disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE
Leave a Reply