Blog Berita Online

Berita Utama

Durian semurah RM5 sekilogram di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Penggemar durian di Terengganu dijangka dapat menikmati keenakan raja buah itu dengan harga lebih rendah dan berpatutan berbanding sekarang pada bulan depan selepas durian milik pekebun negeri ini mula gugur.

Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, jangkaan itu dibuat berikutan kemuncak hasil durian negeri ini dilaporkan berlaku sekitar hujung Julai hingga Ogos dengan harga runcit antara RM5 hingga RM8 sekilogram bergantung kepada jenis buah.

Menurut beliau, buat masa sekarang pengeluaran pertama durian sudahpun bermula di daerah Besut melibatkan kawasan Keruak dan Pasir Akar dengan harga ladang sekarang dijual sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram.

“Hasil tinjauan mendapati kebanyakan durian yang dijual di pasaran Terengganu sekarang diambil dari luar negeri seperti Johor dan Pahang. Oleh itu, harga jualan lebih tinggi kerana turut melibatkan kos pengangkutan.

“Contohnya durian kampung kahwin ada dijual sehingga RM15 sekilogram mengikut jenis dan gred,” katanya selepas Program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) MAFI Prihatin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering di sini pada Rabu.

PKRC UiTM Chendering merupakan lokasi CSR MAFI Prihatin kelima diadakan di negeri ini selepas Hospital Hulu Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tujuh sekatan jalan raya di Kuala Terengganu dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Gong Gemuntong, Besut.

Melalui program bermula 22 Jun itu, FAMA bersama badan bukan kerajaan (NGO) telah menyumbangkan kira-kira 500 kilogram buah dan sayuran seperti labu manis, cili merah, bendi, pisang dan tomato sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan dan bagi membantu meringankan beban rakyat terkesan.

Mengulas lanjut, Che Ghani berkata, secara keseluruhan pengeluaran durian di Terengganu sehingga September nanti dianggarkan berjumlah 7,080 metrik tan dengan majoriti bekalan buah dipasarkan dalam Terengganu.

Katanya, selain Besut beberapa daerah lain seperti Marang, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman turut menjadi penyumbang terbesar bekalan buah durian yang menjadi kegemaran orang ramai.

“Walaupun berdepan dengan sekatan penuh pergerakan, pasaran buah durian tidak akan terganggu kerana pemborong dan peniaga boleh mohon surat pengesahan daripada FAMA dan agensi berkaitan lain untuk buat permohonan pergerakan dengan polis.

“Bermula 1 Jun hingga 13 Julai, FAMA Terengganu sudah mengeluarkan 500 surat pengesahan keterlibatan dalam aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan makanan di negeri ini dengan 40 peratus dari surat itu melibatkan peniaga durian,” katanya.

Leave a Reply