Kuala Lumpur: Empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi itu, mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dirempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang hilang kawalan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.52 pagi.
“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi anggota melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai P Milan Damani,32; C Thinisha, 31 dan dua kanak-kanak lelaki D Ishaan Ivaan,3 serta D Rihaan Ivaan,4.
“Sementara itu pemandu Toyota Hilux mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Leave a Reply