KUALA LUMPUR: Seorang pakar epidemiologi yakin gelombang baharu COVID-19 di Malaysia yang dicetuskan varian Omicron ketika ini, dapat ditamatkan dengan pantas jika imuniti penduduk negara kembali ke tahap optimum menjelang akhir bulan ini.
Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata imuniti rakyat Malaysia dapat ditingkatkan menerusi pemberian dos penggalak secara besar-besaran hingga liputan mencapai 80 peratus populasi negara.
Sekiranya sasaran itu direalisasikan, beliau yakin gelombang Omicron tidak akan memberi kesan pada jumlah kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan kematian, walaupun kes harian terus meningkat.
“Jika kita dapat kembalikan imuniti penduduk ke tahap optimum menjelang hujung Februari dengan pemberian dos penggalak kepada 80 peratus penduduk, bilangan kes baharu akan naik untuk masa yang singkat dan selepas itu menurun.
“Tumpuan ketika ini sepatutnya pada kadar kes teruk (kategori tiga hingga lima), penggunaan katil hospital, kes ICU dan kematian, bukannya bilangan kes baharu semata-semata.
“Jika tahap imuniti penduduk negara secara amnya dapat dikembalikan ke tahap optimum menjelang hujung Februari ini, kadar kenaikan empat indikator ini tidak akan menyamai kenaikan kadar kes baharu, dan gelombang COVID-19 kali ini tidak akan lama,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas lonjakan kes harian COVID-19 kepada lebih 10,000 kes hari ini, selepas berlegar sekitar 2,000 hingga 3,000 kes selama lebih lima minggu sejak pertengahan Disember tahun lalu akibat varian Omicron.
Mengulas lanjut, pakar epidemiologi Universiti Malaya (UM) itu menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti pemberian dos penggalak kepada 360,000 dos sehari bagi memastikan imuniti penduduk dapat dikembalikan ke tahap optimum sebelum hujung bulan ini.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu segera melengkapkan vaksinasi kanak-kanak, selain menganalisa data keberkesanan dos penggalak dalam mencegah kes kategori tiga hingga lima dan menguar-uarkan hasil analisa itu kepada orang ramai.
“Kerajaan juga perlu beri penerangan jelas mengenai keberkesanan vaksin dan dos penggalak kerana penjelasan yang diberi setakat ini kurang meyakinkan orang ramai mengenai keperluan dos penggalak,” katanya.
Berhubung kepentingan dos penggalak, Awang Bulgiba berkata ia antara kunci utama bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan awam tidak terjejas dalam tempoh gelombang Omicron, sekali gus mengekang virus merebak dengan cepat.
Katanya, jumlah pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima, serta kes kematian yang rendah ketika ini adalah disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi di Malaysia, dengan 97.9 peratus penduduk dewasa dan 88.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah lengkap divaksin.
Namun, katanya, tahap antibodi selepas dos kedua vaksin COVID-19 menurun dengan pantas, sekali gus varian Omicron boleh menjangkiti seseorang walaupun mereka sudah lengkap divaksin.
“Jika bilangan yang dijangkiti amat tinggi, misalnya 50,000 sehari, dan walaupun kadar pesakit kategori tiga hingga lima adalah rendah, contohnya satu peratus, bilangan yang memerlukan rawatan di hospital dan ICU tetap tinggi.
“Satu peratus daripada 50,000 adalah 500 pesakit sehari, dan jika ini berterusan untuk jangka masa lama seperti tiga bulan, ia akan melebihi kemampuan hospital awam untuk merawat pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima.
“Jadi, peranan dos penggalak untuk meningkatkan semula tahap antibodi dalam badan supaya bilangan jangkitan Omicron tidak meningkat dengan terlalu cepat,” katanya sambil menegaskan ia perlu disertai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Setakat semalam, seramai 12,361,663 individu dewasa atau 52.8 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini menerima suntikan dos penggalak COVID-19.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, sejumlah 22,929,493 individu dewasa atau 97.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.2 peratus atau 23,238,753 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Leave a Reply