Blog Berita Online

Viral

‘Gengster’ asrama tujuk lagak, belasah seorang pelajar

PETALING JAYA – Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai tular di media sosial sehingga menerima kecaman orang ramai.

Menerusi beberapa video yang berdurasi 13 hingga 30 saat itu, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta untuk berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali di perut oleh beberapa remaja lain.

Menurut lelaki yang memuat naik video tersebut di akaun Facebooknya, Faez Hamzah, beliau menjelaskan terdapat beberapa remaja yang ingin menjadi gengster dan menunjuk taring sedangkan ibu bapa remaja terbabit menghantar mereka ke asrama untuk belajar hingga berjaya dalam pelajaran.

“Hero-hero Malaya sudah tunjuk taring, mak bapa hantar pergi sekolah asrama belajar bagus-bagus untuk menjadi orang yang berjaya, tapi nak menjadi gengster masing-masing nak tunjuk gengster ye, cukup la banyak kes yang telah jadi sebelum-sebelum harap cepat-cepat la insaf,” ujarnya dengan meletak tanda pagar #kuasaviral di hantaran tersebut semalam.

Rata-rata pengguna laman Facebook berang terhadap tindakan semua remaja tersebut yang melakukan tindakan membuli secara beramai-ramai terhadap seorang pengguna serta meminta tindakan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan segera.

Menurut seorang pengguna bernama Atiqah Harun, dia berpendapat tindakan membuli semua remaja itu akan merugikan masa hadapan mereka di usia muda mereka dan akan dipandang serong oleh masyarakat.

“Elok dapat belajar bebas dapat balik kampung jumpa mak ayah,masa depan dah ada jalan depan sikit lagi, tapi dah masuk ke dalam (penjara) nanti, dah tak merasa dah semua kebebasan tu dik, bila dah keluar pun orang akan pandang serong, keluarga kamu pun akan dihina,” jelasnya.

Pengguna lain dengan nama Ramlah Yusuf berkata, dia amat geram melihat perbuatan lagak gengster semua remaja tersebut yang tidak berlaku pada zaman persekolahan di era tahun 70-an dahulu.

“Allahuakbar, apa nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang, zaman sekolah 70-an dahulu tiada perangai buli sebegini, semoga Allah SWT lindungi anak-anak ini dan diberi kesedaran dengan apa yg dilakukan itu adalah satu kesalahan, kesian mak ayah hantar anak-anak ke sekolah suruh belajar bukan nya jadi gengster macam ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna lagi, Ija Eda meminta pihak polis melakukan tangkapan terhadap semua remaja yang membuli itu dengan kadar segera.

“Mohon kutip budak-budak ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tulisnya.- K!ONLINE

Leave a Reply