Blog Berita Online

Berita Utama

Hapuskan subsidi minyak masak peket – Ameer Ali Mydin

PETALING JAYA: Kerajaan tidak harus takut untuk menghapuskan subsidi minyak peket sebaliknya mencari alternatif bagi membantu kumpulan B40 yang tidak lagi boleh menikmati bantuan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana pemberian subsidi minyak peket tersebut bukan sahaja ‘dinikmati’ oleh peniaga tempatan dan peniaga warga asing tetapi juga orang kaya.

Menurut beliau, perkara tersebut sudah lama berlaku tetapi sejak kebelakangan ini ia menjadi-jadi sehingga menyusahkan kumpulan B40 untuk membeli barang tersebut.

“Kita anggap subsidi itu sebagai bantuan, memang ia bantuan tetapi tidak fokus untuk membantu golongan yang layak menerimanya. Pemilik-pemilik restoran, peniaga serta mana-mana individu bukan warganegara yang lebih berkemampuan juga membeli minyak peket itu.

“Lebih parah apabila peniaga atau orang berkemampuan beli, mereka bukan beli untuk satu peket tetapi berkotak-kotak, jadi memang susahkan kumpulan B40,” kata beliau.

Susulan itu, Ameer berkata, daripada kerajaan terus menanggung subsidi tetapi tidak sampai kepada golongan sasar, lebih baik subsidi tersebut dipertimbang untuk dihapuskan.

“Kerajaan disaran menyediakan alternatif membantu kumpulan B40 dan antaranya menaikkan nilai Bantuan Keluarga Malaysia ,” jelasnya.

Jelas beliau, dalam isu mi­nyak peket ini, penguat kuasa dan peniaga runcit sendiri dilihat sukar menyekat pembelian mi­nyak oleh kumpulan bukan B40.

“Contoh bagi peniaga, macam mana mahu tahu mereka itu warga tempatan atau warga asing, penguat kuasa pula susah kerana minyak peket bahan asas dan diperlukan oleh semua golongan,” kata beliau.

Difahamkan, setiap bulan kerajaan mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik atau 60 juta peket 1 kilogram untuk kegunaan kumpulan yang layak.

Di MELAKA, taktik pembe­lian berganda menggunakan ahli keluarga menjadi punca bekalan minyak masak peket di keba­nyakan kedai runcit di negeri itu ‘licin’ sebelum sempat ditambah semula peniaga.

Pengarah Kementerian Per­dagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, siasatan penguat kuasa di kedai runcit mendapati, kekurangan itu bukan berpunca di peringkat peruncit, sebaliknya pengguna sendiri.

Di PAHANG, ketiadaan mi­nyak masak peket menjejaskan peniaga makanan kecil-kecilan di pekan sekitar Jerantut.

Peniaga ayam gunting, Nurul Azmera Baharum, 27, berkata, empat hari lalu, dia terpaksa mengeluarkan modal lebih untuk membeli minyak masak botol.

Katanya, minyak masak botol dua kali ganda lebih mahal berbanding minyak peket dan sebagai peniaga ayam gunting, dia memerlukan kira-kira 15 kilogram minyak sehari.

Di PERLIS, kekurangan mi­nyak masak peket semakin kritikal sejak tahun lalu sekali gus menyusahkan pengguna serta peniaga.

Ramai bosan dan putus asa apabila masalah sama terus berulang tanpa penyelesaian.

Seorang peniaga kedai runcit, Zawiyah Man, 66, berkata, masalah bekalan minyak masak ini sama sahaja pada setiap bulan iaitu tiada bekalan pada minggu keempat.

Katanya, situasi tidak berubah walaupun sudah banyak kali didedahkan media tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan pihak bertanggungjawab.- UTUSAN

Leave a Reply