Berita Utama

Kemalangan maut libatkan motosikal naik mendadak, ada pihak cadang motosikal diharamkan

Kemalangan maut melibatkan motosikal seolah-olah tiada titik noktah walaupun banyak masa dan usaha diambil untuk cuba memulihkan keadaan.

Jika tidak silap, penunggang dan pembonceng terkorban masih kekal pada ranking teratas jumlah korban nahas jalan raya bagi setiap tahun.

Terlalu memeningkan hingga ada pihak mengemukakan cada­ngan melarang motosikal ma­suk ke kawasan bandar atau melupuskan terus motosikal lesen B2.

Mengimbau kembali perbualan bersama Pengurus Operasi Luar Negara Kumpulan Givi, Joseph Perucca berhubung isu ke­selamatan, kemalangan dan lumba haram, beliau pernah berkata, kemalangan motosikal lebih ba­nyak berlaku pada waktu puncak ketika orang ramai keluar dan pulang dari kerja.

Seperkara yang perlu ditekankan ialah hampir 90 peratus kemalangan berlaku kerana sikap pengguna di jalan raya, bukannya jenis kereta atau motosikal.

Bak kata Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail, jika memandangnya sebagai isu remeh, ia akan membentuk sikap dalam diri sendiri dan budaya dalam masyarakat.

“Contoh mudah yang dapat dilihat ialah semasa pengguna lain mahu keluar dari simpang tetapi tidak ramai sedia untuk memberi laluan,” jelasnya.

Beliau berpendirian aspek pendidikan menghargai pengguna jalan raya harus dititikbe­ratkan dalam kokurikulum memandu.

Tujuannya untuk melahirkan generasi pemandu atau penunggang yang ada sifat kemanusiaan atau elemen emosi terhadap pengguna lain.

Penganalisis permotoran, Gan Yong Li juga tidak setuju dengan idea mengharamkan motosikal kerana ia tidak munasabah.

“Di Malaysia, ada lebih 16 juta motosikal berdaftar, jadi mustahil untuk dilakukan. Kita perlu ada alternatif lain jika benar-benar mahu menghapuskannya. Contohnya motor elektrik seper­ti di China.

“Alternatif perlu dijual pada harga mampu milik atau sama seperti harga motosikal.

“Jika ti­dak, apa akan jadi mereka yang tidak mampu beli kereta,” kata­nya.

Yong Li juga menyarankan agar kemudahan pengguna roda dua ditingkatkan seperti memperbanyakan lagi lorong motosikal dengan semua ciri keselamatan dipertingkat.

Beliau turut mengingatkan penunggang motosikal agar sama-sama menghormati peraturan jalan raya dan beri tumpuan sepenuhnya semasa tunggang­an.

“Untuk kempen yang dianjurkan pengeluar automotif, sejujurnya ia serba sedikit membantu. Cuma, kalau diadakan setahun sekali sahaja itu tidak mencukupi.

“Kempen perlu diadakan dengan lebih kerap oleh pelbagai pihak dan perlu ada sokongan mahupun insentif dari kerajaan kerana membabitkan kos tinggi. Bukannya hanya pada waktu pe­rayaan,” jelas beliau.

Usaha mengurangkan jumlah kematian di jalan raya perlu bermula dari diri pengguna jalan raya. Setiap nyawa di jalan raya adalah tanggungjawab bersama.

Persoalan sama ada idea mengharamkan motosikal ini rele­van atau tidak, saya melihatnya sebagai ‘eskapisme’.

Seandainya motosikal sudah diharamkan dan kematian pemandu kereta pula naik mendadak, apa langkah seterusnya? Mengharamkan kereta?

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!