Blog Berita Online

Berita Utama

Pilu, isteri positif Covid-19 meninggal dunia selepas lahirkan bayi

NILAI: Seorang bapa reda dengan ketentuan Ilahi apabila isterinya meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, namun anak dikandungnya selamat dilahirkan dalam keadaan pramatang ketika itu.

Mohd Shahril Hakimi Hamdan, 41, berkata selepas dimaklumkan dia sekeluarga menghidap jangkitan virus itu, hanya isteri, Hasmira Hussain, 38, dan anak sulungnya, Nurhasmieda, 20, dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban pada 4 Ogos lalu kerana ada alahan.

“Pada mulanya saya jangka isteri hanya terkena jangkitan biasa, tetapi pada 7 Ogos lalu doktor memaklumkan dia terpaksa ditidurkan dan anak dikandungnya terpaksa dibedah sehari selepas itu walaupun dalam keadaan pramatang.

“Anak bongsu lahir ketika kandungan isteri 32 minggu (tujuh bulan) dengan berat 1.95 kilogram dan kami tidak sempat membuat apa-apa persiapan kerana disahkan positif COVID-19 ketika itu.

“Saya langsung tidak fikirkan perkara buruk akan berlaku sehingga diberitahu pihak hospital yang isteri disahkan meninggal dunia pada jam 7.26 malam 20 Ogos lalu walaupun arwah ketika itu tidak lagi dijangkiti COVID-19,” katanya selepas menerima sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumah ibunya, di sini, hari ini.

Mohd Shahril berkata, pada 1 September lalu, anak yang dilahirkan itu dibenarkan dibawa pulang tanpa sebarang persiapan kerana ketika dia sekeluarga sedang dikuarantin.

“Saya masih ingat kenangan bersama isteri ketika membuat panggilan video untuk kali terakhir sebelum dia ditidurkan, arwah berpesan saya menjaga anak lelaki tunggal kami yang manja dengannya,” katanya.

Mohd Shahril berkata, dia akan terus menjaga anak bongsunya itu, Nurhasmeyra, yang kini berusia sebulan, walaupun ramai meminta untuk menjaga bayi terbabit yang kehilangan ibu.

“Saya dengan dibantu anak lain akan menjaga Nurhasmeyra kerana dia hadiah terakhir isteri. Saya juga perlu melihat keperluan enam anak yang semakin membesar, Nurhasmieda, Nurhasmieka, 18, Nurhasmieza, 17, Nurhasmiefa, 14; Nuruh Huda Diyana Husna, 10; dan Ajad Aqil Arfa, 5,” katanya.

Leave a Reply