MARANG: Dua beranak maut manakala enam sekeluarga mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Pulau Kerengga, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, mangsa yang maut ialah Subhi Sayuti Abd. Ghani, 43, yang bekerja sebagai pemandu Grab dan anak perempuannya, berusia tujuh tahun, Syuhada Hafiy, 7.
Sementara itu, enam mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu pula mengalami kecederaan iaitu pasangan suami isteri, Nazarullah Sekawi, 37, dan Nurul Ermanazita Hashin, 34, bersama empat anak mereka yang berusia antara lima hingga 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki dua beranak yang maut, kenderaan utiliti sukan (SUV) Rexton Syanyong dan sebuah Perodua Kenari.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza dipandu Subhi Sayuti dari Kuala Lumpur untuk balik ke rumah ayahnya di Taman Hidayah, di sini, telah memasuki laluan bertentangan.
“Akibat daripada itu, kenderaan tersebut terlanggar Rexton Syanyong dinaiki enam sekeluarga dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan sebelum berpusing dan melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri Perodua Kenari.
“Pemandu Perodua Alza maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kepala manakala anaknya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Zain, enam sekeluarga yang cedera itu beralamat di Kampung Tok Lam Dalam, Kuala Terengganu dekat sini turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan setelah mengalami kecederaan di muka serta anggota badan.
Katanya lagi, pemandu Perodua Kenari berusia 28 tahun pula tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa yang maut di tempat kejadian itu kemudian dihantar ke HSNZ untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN
Leave a Reply