Blog Berita Online

Berita Utama

Pengantin baharu maut kemalangan, tak sempat rai majlis bertandang

KETERUJAAN pasangan pengantin yang baru berkahwin Jumaat lalu, memilih pelamin untuk majlis bertandang tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kampung Galok, Pasir Mas, 4.45 petang semalam.

Kemalangan berkenaan meragut nyawa Wan Ahmad Haziq Wan Abd Razak, 25, manakala isterinya, Norainsya Mohd Suhaimi, 22, luka ringan di kepala.

Adik mangsa, Wan Ahmad Aizat Wan Abd Razak, 23, berkata, pada awalnya, dia menerima panggilan telefon daripada isteri mangsa memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan dengan keadaan abangnya yang masih tidak diketahui.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas (HPM), dia terkedu kerana dikhabarkan abangnya sudah meninggal dunia, namun terus menguatkan semangat untuk sampai ke sana.

“Kali terakhir kami berjumpa ketika sarapan pagi bersama-sama di rumah ibu pagi tadi (semalam), memandangkan saya merancang untuk pulang Tanjung Malim, Perak, tempat saya bekerja pada sebelah petang.

“Kami berdua sangat akrab malah boleh dikatakan hampir setiap hari dia menelefon saya sebelum majlis perkahwinannya, untuk berkongsi persiapan dan keterujaan dia mendapat isteri memandangkan saya sudah berkahwin beberapa bulan lebih awal daripada abang,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HPM, malam tadi.

Wan Ahmad Aizat dalam keadaan sebak mengakui, abangnya itu seorang anak yang sangat taat pada ibu mereka selain disenangi rakan-rakan kerana keramahannya selain suka membantu kenalan yang dalam kesusahan.

“Pemergiannya benar-benar memberi kesan buat kami sekeluarga, apatah lagi hanya beberapa hari dia membina ‘masjid’ bersama isteri tercinta. Bagaimanapun, kami reda dan akan terus menguatkan semangat kerana isterinya juga perlukan sokongan kami sekeluarga untuk terus kuat.

“Insya-Allah sebaik selesai semua urusan di hospital, jenazah abang akan segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, di Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

“Hasil siasatan mendapati, pasangan berkenaan yang menaiki Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan menyebabkan terbabas ke jalan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza ketika dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.

“Selepas bedah siasat dilakukan, didapati mangsa yang parah pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HPM, manakala isterinya mengalami luka di bahagian kepala.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply