JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri yang bergantung kepada makanan diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada gelandangan di bandar raya ini berharap agar dapat kembali ke pangkuan keluarga di Kuara Krai, Kelantan secepat mungkin.
Pasangan yang mahu dikenali sebagai Amir, 21, dan Dilla, 27, itu kini tinggal di sebuah bilik di Larkin yang disewa secara harian dengan bayaran RM28 sejak sebulan lalu.
Amir yang sebelum ini bekerja di sebuah bengkel di bandar raya ini diberhentikan kerja sejak dua bulan lalu berikutan pendapatan bengkel yang semakin merosot.
Bermula dari situ, Amir kehilangan pendapatan dan terpaksa bergantung dengan wang simpanan untuk menyara isteri, membayar sewa bilik dan belanja makan minum.
Amir berkata, dia dan isterinya tidak pernah berputus asa mencari pekerjaan demi mendapatkan wang, namun segalanya hampa.
“Saya cuba untuk bekerja di kedai cuci kereta, kedai makan dan sebagainya yang boleh bayar upah secara harian. Ada yang bagi kerja, tetapi kebanyakannya tidak mahu ambil pekerja baharu kerana risau ada Covid-19.
“Saya lihat sudah banyak kedai-kedai ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi susah untuk saya dapatkan kerja,” katanya ketika ditemui di Laman Tun Sri Lanang di sini pada Rabu.
Menurut Amir, dia tidak menyangka begitu sukar untuk mendapatkan peluang pekerja ketika negara dilanda wabak Covid- 19 sehingga menyebabkan dia dan isteri bergantung kepada makanan yang diberikan kepada gelandangan.
Keadaan di Laman Tun Sri Lanang menjadi lokasi agihan makanan kepada gelandangan di Johor Bahru.
“Saya dan isteri akan datang ke lokasi yang menyediakan makanan kepada gelandangan di Persiaran Tun Seri Lanang dan Stesen Keretapi Lama Johor Bahru untuk mengambil makanan bagi mengalas perut.
“Wang yang ada digunakan untuk membayar sewa bilik kerana kami perlu bayar secara harian. Selain itu, kami perlu berjimat cermat kerana perlu bayar tambang bas untuk bergerak dari Larkin ke bandaraya Johor Bahru,” katanya.
Menurut Amir, dia dan isteri dilayan baik oleh sukarelawan NGO yang memberi makanan dan menganggap gelandangan lain seperti rakannya.
“Saya dan isteri akan duduk makan bersama gelandangan di sini. Pelbagai kisah mereka kongsikan termasuk kisah mereka yang diberhentikan kerja dan merindui keluarga yang jauh.
“Sebagai seorang yang masih muda, pastinya terdetik rasa sedih melihat mereka yang sudah berusia menjadi gelandangan. Saya bersyukur kerana masih ada bilik yang selesa untuk didiami,” katanya.
Katanya, dia dan isteri kini hanya berharap dapat pulang ke kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan untuk memulakan kehidupan baharu di sana.
Amir berkata, dia juga berhasrat untuk ke Baitulmal bagi mendapatkan bantuan untuknya membeli tiket bas pulang ke Kelantan secepat mungkin selepas surat kebenaran rentas negeri diperoleh dari Balai Polis Larkin.
“Bukan sahaja gelandangan tetapi makanan yang disediakan sangat membantu insan seperti saya dan isteri untuk meneruskan kehidupan.
“Saya dan isteri amat bersyukur kerana dapat menjamah makanan dalam keadaan kami kekurangan wang dan tidak bekerja. Terima kasih kepada mereka terutama NGO dan kerajaan negeri yang prihatin membantu gelandangan,” katanya.
Leave a Reply