SABAK BERNAM – “Hilang dua abang tersayang dalam masa singkat adalah ujian paling berat untuk kami sekeluarga, namun perlu reda kerana ini adalah takdir,” kata Arbainah Hussain.
Arbainah, 45, adalah adik kepada Abdul Rahman, 55, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Bagan Nakhoda Omar (BNO), hari ini.
Sebelum itu, abang sulung mereka, Mohd Yusof, 69, meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Perenggan, Sungai Air Tawar kerana penyakit darah tinggi pada 26 September lalu.
Mengimbau kembali kenangan terakhir bersama kedua-dua abangnya, Arbainah berkata, dia bertemu dengan Abdul Rahman untuk menguruskan jenazah Mohd Yusof.
“Pada hari abang sulung meninggal dunia, abang (Abdul Rahman) tidak menunjukkan apa-apa perubahan.
“Sebelum ini, kedua-dua abang saya tinggal bersama di rumah keluarga sejak lima ke enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, di sini, hari ini.
Arbainah berkata, Abdul Rahman sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga ibu mereka yang sakit bersama Mohd Yusof.
“Ibu kami menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 2016,” katanya yang menetap di Taman Sentosa, Klang.
Menurutnya, Abdul Rahman disifatkan sebagai seorang yang mengambil pendekatan untuk bersederhana dalam semua perkara selain tidak banyak bercakap.
“Abang seorang yang baik, lebih-lebih lagi dengan adik-beradiknya sendiri. Tiada sengketa yang timbul antara kami dan kalau kami ada masalah, dialah orang pertama menghulurkan bantuan.
“Selepas ini, saya dan adik-beradik lain akan merasa sunyi sebab kedua-duanya sudah tiada. Tambahan pula, mereka adalah penyeri dalam keluarga khususnya semasa sambutan Aidilfitri,” katanya.
Arbainah berkata, dia mendapat khabar duka mengenai kematian Abdul Rahman ketika sedang bersiap untuk menyiapkan juadah makan tengah hari pada jam 10.30 pagi.
Menurutnya, dia berharap dan berdoa semua urusan arwah Abdul Rahman termasuk pengebumiannya nanti akan berjalan lancar.
“Ketika ini, kami masih menunggu ujian saringan Covid-19 dan keputusan bedah siasat. Moga semuanya berjalan lancar.
“Insya-Allah, arwah abang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Nakhoda Omar (BNO) nanti,” katanya.
Leave a Reply