Seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Persiaran Timur dari Kajang menghala ke Pinggiran Putra, Putrajaya petang tadi.
Menurut laporan Bernama, mangsa Amalina Azman, 32, yang cedera parah disahkan meninggal di Hospital Putrajaya manakala anak lelakinya Dzul Qarnain berusia dua tahun maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kereta jenis perodua Myvi dipandu suami mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang air atau ‘water barrier’ di bahu kiri jalan.
Beliau berkata, bagaimanapun suami mangsa Mohd Iqbal tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
Tambah A. Asmadi, siasatan awal mendapati suami mangsa dipercayai mengantuk ketika memandu, lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri.
Sementara itu, berita pemergian Amalina dan anaknya turut mengundang rasa pilu kenalan rapat menerusi beberapa muat naik posting di laman Facebook.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply