Berita Utama

‘Ibu.. sakit ibu, tak mahu dah buat kimoterapi’

PASIR MAS – “Ibu, saya sakit… Cukup-cukuplah bagi saya jalani kimoterapi, perit sangat biar saya bertahan begini sahaja,” luah Ahmad Saifullah Zamani, 13, remaja yang menghidap kanser mata tahap empat kepada ibunya, Samsiah Abd Ghani, 49.

Malah, wanita itu sendiri buntu memikirkan cara untuk memujuk anak bongsu daripada empat adik beradik itu supaya terus bertahan bagi menjalani tiga sesi kimoterapi lagi.

Katanya, keadaan anaknya semakin teruk sejak kebelakangan ini, apatah lagi Ahmad Saifullah enggan menjalani kimoterapi atas alasan terlalu sakit, selain tidak sanggup menanggung rasa mual, tekak kering selain kencing berdarah susulan rawatan berkenaan.

“Saya sedar, sakit anak saya hanya mampu dirawat jika dia bertahan untuk menjalani kimoterapi, namun saya dan suami, Zamani Abdullah, 45, buntu memikirkan cara memujuknya.

“Saya ‘kalah’ dengan rayuan dan tangisan anak yang bersungguh-sungguh menolak untuk menjalani baki kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Malah, doktor dari HUSM sendiri ada datang ke rumah untuk menghantar ubat selain memujuk Ahmad Saifullah untuk meneruskan rawatan kerana bimbang akan keadaannya yang semakin teruk sehingga mengganggu sistem pendengarannya.

“Bengkak di mata sebelah kiri semakin membesar sejak Januari lalu, malah separuh mukanya turut terjejas selain tidak mampu berjalan dengan stabil dan perlukan sokongan atau hanya menaiki kerusi roda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kubur Alor Pasir, Kampung Repek, di sini, hari ini.

Samsiah berkata, Ahmad Saifullah sudah menjalani 19 sesi kimoterapi selepas disahkan menghidap kanser mata ketika berusia enam tahun, tetapi sakitnya itu pernah reda sebelum kembali menyerang tahun ini.

“Bagi rawatan terbaru, dia sepatutnya menjalani enam kali kimoterapi namun masih tinggal tiga kali rawatan yang tidak dilakukan kerana rasa takut dan sakit kesan daripada proses berkenaan.

“Pilu lagi hati ini, apabila melihat dia mengadu rasa tidak selesa setiap hari, selain kehilangan berat badan dengan mendadak.

“Dia juga pernah menyuarakan harapan untuk bermain bersama rakan-rakan lain, kami hanya mampu menolaknya menggunakan kerusi roda di sekitar rumah kerana dia sudah tidak mampu berjalan dengan stabil,” katanya yang mengharapkan bantuan katil khas buat anaknya itu.

Menurutnya, anaknya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan remaja itu kini sudah hilang selera makan.

Nasib remaja berkenaan mendapat perhatian daripada Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam, yang melawat serta memberi sumbangan keperluan asas kepada mereka, hari ini.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!