MELAKA – Dua pekerja kilang maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Kandang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pada 8.05 pagi itu, mangsa, Noor Izwani Ali Mohd Nor, 35, dan Nur Aisah Djaapar, 36, yang menaiki Nissan Almera dikatakan baru balik daripada berkerja di sebuah kilang di Batu Berendam.
Beliau berkata, kemalangan itu turut membabitkan kereta jenis Toyota Altis dipandu Faharul Azley Azley, 43, yang juga anggota polis di bahagian pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan motosikal ditunggang Saifiudin Jasmi, 30, yang juga Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Melaka.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Noor Izwani, dari Kampung Sempang, Jasin, terbabas ke arah kanan bertentangan jalan sebelum melanggar kereta dinaiki Faharul Azley dan motosikal ditunggang Saifiudin.
“Akibat kemalangan itu, Noor Izwani dan Nur Aisah dari Serkam Darat, maut di tempat kemalangan, manakala Faharul Azley serta Saifiudin masing-masing cedera ringan dan patah kaki kanan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, adik Noor Izwani, Muhammad Rezza Afiqie, 27, yang kebetulan melalui kawasan kemalangan itu nyata terkejut apabila mengetahui salah seorang mangsa adalah kakak kandungnya sendiri.
“Saya tergerak untuk berhenti, mulanya saya tak perasan kereta kakak sebab keadaan kereta yang remuk teruk.
“Tapi bila kain putih menutupi salah satu mayat diselak oleh seorang lelaki rupanya itu mayat kakak,” katanya.
Muhammad Rezza Afiqie berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada lapan beradik dan ibu tunggal kepada dua anak berusia tujuh dan enam tahun.
Menurutnya, selepas bercerai, kakaknya yang sebelum ini berniaga di Port Dickson, Negeri Sembilan tinggal bersama bapa di kampung dan bekerja di sebuah kilang.
“Kami tinggal bersama, iaitu saya, ayah, kakak dan dua anaknya. Arwah seorang yang penyayang dan peramah.
“Cuma semalam (kelmarin) saya perasan ada sedikit perubahan apabila kakak tiba-tiba jadi pendiam, tapi tidak sangka itu jadi petanda kematiannya,” katanya.
Leave a Reply