TAWAU: Seorang wanita hamil maut, manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45, Jalan Apas, berhampiran Kampung Nasib Kita, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.52 petang itu, Noor Aqila Ibrahim, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata nahas membabitkan dua kereta Toyota Vios dan sebuah PROTON Saga digunakan bagi khidmat e-hailing.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan apabila Toyota Vios biru dipandu suami mangsa, Wan Ramzi Wan Omar, 27, dari arah Tawau menuju Semporna secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung Toyota Vios merah.
“Pada masa sama, kereta PROTON Saga yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta dinaiki mangsa. Akibatnya, empat penumpang di dalam PROTON Saga berkenaan cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Empat penumpang terbabit, Kuhan Neelamegan, 29, mengalami pendarahan dalaman, manakala Vasanthakumar Segaran, 29, dan Shalini Thiagarajan, 30, masing-masing lebam kaki kiri dan pemandu, Al Hafiz Mohd Basir, 26, turut cedera parah.
Peter berkata, pemandu Vios merah, lelaki berumur 61 tahun bersama seorang penumpang lelaki beusia 66 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua mangsa cedera dihantar ke hospital Tawau dengan ambulans untuk rawatan lanjut. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stephen Jr, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.57 petang sebelum menghantar sepasukan tujuh anggota dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.
Leave a Reply