Blog Berita Online

Berita Utama

Isteri meraung lihat jasad suami, dua anak maut kemalangan

“Sekelip mata sahaja dah tiada, sedangkan sebelum kejadian mereka sekeluarga sempat makan bersama,” kata Normah Khalid, 66, ibu mentua kepada seorang pemandu treler yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Malim Nawar-Kota Bharu di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, Hafize Nizam Ali Supian, 30, bersama dua anak lelaki, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terbalik.

Sebelum kejadian, arwah dan isteri, Shamshira Mohd Norizin, 31, menghabiskan masa makan tengah hari bersama tiga anak mereka di sebuah restoran di Kampar.

Normah berkata, lima beranak itu datang ke restoran dari kediaman mereka di Langkap dengan kenderaan berasingan kerana Hafize Nizam mahu meneruskan perjalanan mengambil muatan simen di Gopeng.

“Pada mulanya arwah memang tak ada niat nak bawa dua anaknya itu, tetapi entah mengapa selepas selesai makan, mereka menangis-nangis nak ikut sama.

“Budak-budak kan, mungkin mereka teruja nak naik treler, kalau ikutkan sebelum ini, mereka tak pernah pun ikut ayah mereka kerja,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar, di sini hari ini.

Dia berkata, mereka menerima panggilan kejadian sekitar jam 10.30 malam dan bergegas ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan kemalangan itu.

“Mak cik tak sanggup nak tengok lama-lama, anak mak cik (isteri arwah) pun dah tidak keruan, menangis dan meraung melihat keadaan treler yang remuk.

“Kami tunggu dekat tiga jam di lokasi dan tengok sendiri semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Normah berkata, anak bongsu arwah, Adeeb Hud, 2, ada bertanya di mana ayah dan dua abangnya, tetapi hanya mampu mengatakan mereka semua sedang tidur.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah dan dua cucunya itu pada Sabtu lepas di kediamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan.

“Arwah seorang menantu yang baik dan suka membantu ahli keluarga yang lain, mak cik pun memang rapat dengan cucu-cucu sebab pagi petang siang malam mereka selalu datang bermain di rumah.

“Apa pun kami reda dengan pemergian mereka dan anggap ini satu ujian buat anak mak cik,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan hari ini.

Leave a Reply