PETALING JAYA – Bekas jaguh sukan menembak negara, Datuk Sabiamad Abdul Ahad meninggal dunia akibat serangan jantung pada pukul 11 malam tadi.
Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 65 tahun pernah beraksi mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Los Angeles 1984.
Kosmo! difahamkan Allahyarham pernah menjalani pembedahan akibat komplikasi jantung meninggal dunia di Hospital Serdang.
Jenazahnya dimandikan dan dikafankan di Surau Mujahiddin, Taman Desa Surada, Kajang pada pukul 9 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Sebelum meninggal dunia, Sabiamad aktif membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
Allahyarham juga seorang usahawan berjaya serta aktif membantu komuniti setempat melalui kerja-kerja sukarela.
Sabiamad selalu berkongsi cerita mengenai pengalamannya menjadi pembawa Jalur Gemilang pada Olimpik 84. – K! ONLINE
Leave a Reply