Blog Berita Online

Berita Utama

Jenazah bayi dan ibu mentua Syafiq dibawa ke Pendang, dikebumi satu liang lahad

NIBONG TEBAL: Jenazah bayi lelaki dan ibu mentua kepada pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad selesai dimandikan dan dikafankan sebelum dikebumikan di Pendang, Kedah, hari ini.

Terdahulu, jenazah Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari dan neneknya, Zainab Wahab, 45 selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB) pada jam 1.40 tengah hari.

Ahli keluarga dan saudara mara pemain bola sepak itu kelihatan memenuhi unit forensik selain jurulatih Skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut hadir memberikan sokongan.

Jenazah dikebumi satu liang lahad

Sementara itu, difahamkan jenazah ibu mentua dan bayi lelaki Syafiq Ahmad dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad.

Bapa mentuanya, Norain Shahadan, 50, berkata, mereka sekeluarga sedang menunggu kepulangan jenazah isterinya, Zainab Wahab, 46, dan cucunya, Muhammad Aisy Saqeef, berusia 22 hari, yang dijangka tiba di Jalan Padang Pusing, tidak lama lagi.

Katanya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing selepas ahli keluarga memberi penghormatan terakhir untuk jenazah.

“Apapun berlaku saya tetap reda…Saya dah minta orang kampung uruskan semua (liang),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Padang Pusing, hari ini.

Tinjauan di kediaman keluarga mentua Muhammad Syafiq mendapati ahli keluarga, kenalan dan penduduk kampung memenuhi perkarangan kawasan itu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal yang meragut tiga nyawa, Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Leave a Reply