Blog Berita Online

Berita Utama

Jenazah Mamat Khalid selamat dikebumikan

IPOH – Jenazah pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampong Paloh di sini sebentar tadi.

Van jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 1.53 petang.

Lebih 200 kenalan, sahabat handai khususnya penggiat seni setempat hadir di tanah perkuburan.

Sebelum itu jenazah tiba rumah keluarganya di Taman Ipoh Jaya Timur 1, Ampang dekat sini pukul 6 pagi tadi setelah disempurnakan di Hospital Slim River (HSR).

Suasana hiba menyelubungi kediaman dengan kehadiran ahli keluarga, kenalan dan pelakon-pelakon telemovie Kampong Pisang yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas Menteri Besar Perak serta penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, Khir Rahman, Pekin Ibrahim dan Bell Ngasri.

Jenazah kemudiannya dibawa di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampong Sungai Rokam di sini pada pukul 12.25 tengah hari untuk disembahyangkan.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di HSR kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham sempat membuat persembahan di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke HSR.

Sementara itu, anaknya, Mohd. Khalid Amen Mohamad, 25, berkata, bapanya yang bermain keyboard sedang memainkan lagu ‘Apokalips’ di hadapan ahli keluarganya.

Bagaimana pun, Allahyarham dikatakan tiba-tiba terdiam sebelum ahli keluarga mendekati beliau tetapi Allahyarham tidak mengadu sakit apa-apa.

“Melihatkan keadaan papa, Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Papa memang ada sakit jantung,” katanya ketika ditemui. -K! ONLINE

Leave a Reply