TUMPAT – Hilang tiga anak serentak apatah lagi dalam kejadian cukup menyayat hati benar-benar sukar untuk ditanggung.
Tidak hairanlah Mohd Nadzir Mohamad, 67, gagal menahan sebak mengenangkan nasib menimpa tiga anak perempuannya yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir di Kampung Bendang Surau, dekat Morak, di sini.
Meskipun mengakui reda dengan pemergian tiga anaknya iaitu Nurul Syazwani, 33; Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27; air mata yang tidak pernah kering di pipi Mohd Nadzir menggambarkan betapa besar kehilangan dirasai bapa kepada lapan anak itu.
Malah, Mohd Nadzir sambil menangis di sisi jenazah, berkali-kali dilihat mengucup tiga anak perempuannya itu sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismail di Morak jam 11 malam tadi.
“Luluh hati saya melihat tiga anak bergelimpangan dalam air, sedangkan dalam hati berkobar-kobar untuk menerpa ke arah mereka.
“Sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga. Naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini, namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi tadi, tiga beradik itu terkena renjatan elektrik sebaik seorang daripada mereka berpegang pada sebatang tiang di rumah jiran yang mengalirkan elektrik apabila ingin bermain air banjir.
Tindakan itu menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan mereka meninggal dunia serta-merta.
Terdahulu, jenazah tiga beradik itu tiba perkarangan Masjid Al Ismaili selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tumpat.
Kira-kira 200 hadir mengiringi jenazah sebaik tiba dengan menaiki tiga van, sebelum disolatkan di masjid sama.
Mohd Nadzir ketika ditanya mengakui tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan mereka lebih mesra terhadapnya terutama Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, kebelakangan ini.
“Sebelum ini ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti, tetapi kebelakangan ini mereka melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.
“Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya.
Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak jam 11.45 malam sebentar tadi.
Mohd Nadzir dalam pada itu mengakui imej tiga anaknya yang terbaring dalam air masih terbayang di matanya dan dia tidak pasti sama ada mampu atau tidak untuk melupakan detik itu.
Leave a Reply