Blog Berita Online

Berita Utama

Jururawat maut motosikal ditunggang suami dirempuh motosikal

MARAN – Seorang jururawat yang membonceng motosikal ditunggang suaminya maut selepas motosikal jenis Honda RS150R itu dirempuh sebuah motosikal lain di Kilometer 35 Jalan Temerloh-Jengka berhampiran Jengka 17 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu berlaku ketika mangsa Norhafizah Noh,40, yang bertugas di Klinik Desa Jengka 17 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di bandar Jengka di sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang seorang lelaki berumur 22 tahun dari Temerloh menghala ke Bandar Pusat Jengka melanggar belakang motosikal yang ditunggang suami mangsa.

“Akibat kejadian mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan dan mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, suami mangsa mengalami kecederaan pada muka dan tangan manakala penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC berkenaan patah tangan kiri dan mengalami kecederaan pada bahagian muka.

Menurut Norzamri mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.

Dalam pada itu Norzamri berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan adalah kering dan jalan diterangi lampu. – K! ONLINE

Leave a Reply