TANJUNG MALIM – Seorang remaja perempuan maut manakala adiknya cedera dalam nahas membabitkan motosikal dan lori di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Nurul Nazira Hanum Ismail, 17, maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Khairul Rezeal Ismail, 15, patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku apabila motosikal yang ditunggangi Muhammad Khairul Rezeal bersama kakaknya cuba memotong sebuah lori dari arah Slim Village ke Slim River, di sini.
Menurutnya, bagaimanapun ketika cuba memotong lori berkenaan, terdapat kenderaan lain dari arah bertentangan menyebabkan penunggang motosikal cuba mengelak sebelum bergesel dengan lori tersebut.
“Kemalangan menyebabkan pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi manakala penunggang terjatuh di bahagian tayar belakang lori dan patah kaki kiri. Bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.
Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Leave a Reply