Berita Utama

Kanak-kanak maut tertelan pin papan notis

KEMATIAN anak tersayang akibat tertelan push pin (pin papan notis) meninggalkan kesan mendalam kepada wanita Amerika Syarikat ini.

Anak lelaki Ayla Rutherford berusia empat tahun maut selepas tertelan alat berkenaan yang menjejaskan paru-parunya.

Dalam kejadian yang berlaku di Graham, Washington bulan lalu, Ayla sedang mandi apabila dia terdengar suara riuh ahli keluarganya menjerit.

Dia melihat suaminya, Josh, 29, melakukan bantuan kecemasan kepada anak mereka, Axel yang tidak sedarkan diri selepas disyaki tercekik sesuatu.

Doktor menjalankan pembedahan selama dua jam bagi mengeluarkan peralatan alat tulis terbabit yang menembus paru-paru kirinya.

Bagaimanapun, selepas seminggu bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan menjalani empat ujian mati otak, kanak-kanak itu meninggal dunia dalam pangkuan ibu bapanya.

Ayla dan suaminya mengingatkan orang ramai supaya menyimpan atau membuang peralatan itu dari rumah mereka bagi mengelak kejadian tragis berlaku kepada anak masing-masing.

“Saya mahu semua orang tahu, pin itu yang biasa kita gunakan untuk menggantung poster, bingkai gambar, lampu krismas dan kalendar amat berbahaya.

“Jika ada alat itu di rumah, buang atau simpanlah elok-elok kerana tidak berbaloi untuk nyawa anak anda.

“Kami tidak mahu orang lain merasa apa yang kami rasa apabila kehilangan anak kami kerana pin itu saja,” katanya dalam portal Daily Mirror.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!