Blog Berita Online

Berita Utama

Kapten Affendi maut, Mejar Fareez cedera pesawat Hawk TUDM terhempas

BUTTERWORTH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan status dua juruterbang pesawat Hawk yang terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth, jam 10.07 malam tadi.

Juruterbang yang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua juruterbang itu sedang melaksanakan latihan penerbangan (Night Flying) ketika nahas berlaku.

“Mejar Mohd Fareez cedera dan kini sedang diberikan rawatan di HSJ dan berada dalam keadaan selamat dan stabil.

“Bagaimanapun, Kapten Mohamad Affendi meninggal dunia dan jenazah sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua juruterbang sudah berkahwin.

“Keluarga kedua-dua juruterbang ini telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.

“Semua pihak diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih,” katanya.

Menurutnya, pihak TUDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan Terperinci mengenai insiden berkenaan.

Sementara itu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Twitternya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mohamad Affendi

“Didoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan semoga ahli keluarga tabah hadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Leave a Reply