Blog Berita Online

Berita Utama

3 penunggang motosikal maut dirempuh kereta ketika pulang dari kerja

Sitiawan: Tiga lelaki yang masing-masing menunggang motosikal, maut selepas dirempuh Proton Preve di Kampung Sitiawan di sini, hari ini.

Difahamkan, seorang penumpang kereta turut cedera dalam kemalangan itu, manakala identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Ketika kejadian, ketiga-tiga penunggang berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh di sini, manakala kereta datang dari arah bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.28 petang dan sepasukan anggota diketuai Khairul Azizi Kamaruddin bergegas ke lokasi.

Menurutnya, operasi turut dibantu anggota BBP Seri Manjung.

“Kemalangan itu menyebabkan tiga penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan difahamkan mereka dari arah Kampung Acheh.

“Kereta berkenaan pula dinaiki tiga individu yang seorang daripadanya parah dan dibawa ke hospital sebelum bomba tiba,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zaki berkata, kematian mangsa disahkan petugas kesihatan yang hadir dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply