Berita Utama

Kerajaan kaji pelaksanaan semula PKP – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata penilaian semula ini penting untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan COVID-19 yang sedang meningkat di negara ini dan seluruh dunia.

“Kerajaan sudah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19.

“Premis berkenaan akan diarah tutup jika dikesan sudah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif COVID-19. Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 secara bersasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui sistem ini, Perdana Menteri berkata, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi.

“Jadinya, kita meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah ledakan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Penggunaannya sebelum ini sudah dilaksana bagi arahan penutupan sebanyak 22 daripada 1,073 bazar Ramadan yang sedang beroperasi di seluruh negara ketika ini, selepas dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca penularan jangkitan COVID-19.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya semalam memaklumkan penutupan operasi itu membabitkan lapan bazar Ramadan di Pulau Pinang, Johor (empat), Kedah (tiga), Perak (satu) manakala masing-masing dua di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur, bagi membolehkan kerja sanitasi dan memperkemas semula prosedur operasi standard (SOP) dilakukan.

Sejak pertengahan bulan lalu juga, kerajaan sudah mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa daerah di semenanjung selepas kawasan itu mencatatkan trend peningkatan kes membimbangkan termasuk di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Selain itu, lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim juga dilaksana PKP yang bermula hari ini sementara seluruh daerah Raub, Pahang, sejak semalam.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!