Politik

Kerjasama Bersatu, UMNO, PAS atas dasar khianat, rompak dan jual agama, kata Khalid Samad

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (PAN) mengakui keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam menunjukkan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO berpotensi menguasai politik negara.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, sehubungan itu gabungan pembangkang pimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga harus bersatu bagi menghadapinya.

“Keputusan Slim menunjukkan kerjasama ‘Bersatu-UMNO-Pas’ amat berpotensi menguasai politik negara.

“Kesatuan atas dasar ‘khianat, rompak dan jual agama’ kali pertama dihadapi dan untuk menghadapinya kita juga perlu bersatu. Jangan dipandang remeh dan peranan setiap pihak diperlukan,” ciapnya di Twitter, hari ini.

Beliau berkata, ada juga yang mengatakan bahawa keputusan PRK DUN Slim adalah bukti parti baharu, Pejuang pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Pejuang ditolak rakyat dan Dr Mahathir hilang ‘daya tarik’.

“Sebenarnya ia membuktikan pembangkang perlu bersatu dan usaha menunjukkan kelemahan sesama sendiri hanya menguntungkan Perikatan Nasional. Tiada yang boleh bersendirian. Rapatkan saf seperti semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Malam tadi, Barisan Nasional menerusi calonnya, Mohd Zaidi Aziz, mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, selepas diumum menang dengan majoriti bergaya dalam PRK DUN Slim.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran, yang memperoleh sebanyak 276 undi.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!