Blog Berita Online

Berita Utama

Khairuddin lebih bermoral jika berani minta dihadapkan di mahkamah

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mendakwa Datuk Dr Khairuddin Aman Razali akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya beliau berani minta dihadapkan ke mahkamah, sama seperti makcik yang berusia 72 tahun yang melanggar perintah kuarantin wajib di rumah.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sebagai pemimpin, Khairuddin harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan.

”Perkara yang lagi tidak bermoral ialah kemelut “antara dua darjat” atau “double-standard”, apabila VIP seperti Menteri dikenakan kompaun “manja” RM1,000, sedangkan rakyat biasa dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjara. Khairuddin akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya beliau berani minta juga dihadapkan ke mahkamah sama seperti makcik tua yang berumur 72 tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau membidas Khairuddin selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu meminta Guan Eng menumpukan usaha membersihkan nama yang terpalit dengan dakwaan jenayah rasuah.

”Sekiranya ini adalah standard baru Khairuddin, maka beliau juga harus mempersoalkan kelayakan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi membuat ulasan atas isu negara sungguhpun mereka didakwa oleh SPRM di mahkamah.

”Malah Najib telahpun didapati bersalah oleh mahkamah dengan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Sebaliknya Khairuddin menconteng arang di muka sendiri dengan terus bersama kedua-dua pemimpin UMNO dalam Muafakat Nasional,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Katanya, Khairuddin masih tidak mahu mengakui wujudnya ‘antara dua darjat’ walaupun hanya dikenakan denda sebanyak RM1,000 sahaja kerana melanggar peraturan keselamatan Covid-19 apabila tidak kuarantin kendiri dalam rumah dan tidak pakai gelang merah jambu.

Sedangkan,mak cik tua berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjarakan.

Itulah sebabnya begitu ramai Menteri-Menteri di luar negara telahpun letak jawatan kerana melakukan kesalahan yang sama iaitu melanggari peraturan keselamatan melawan Covid-19, kata Guan Eng lagi.

Menurutnya, bukan sahaja Khairuddin, tetapi Pas juga tidak mahu mengakui kompaun ‘manja’ RM1,000 ini ialah antara dua darjat yang tidak bermoral.

Sebaliknya Pas menganggap Khairuddin adalah seorang wira atau hero sungguhpun Khairuddin dan keluarganya melakukan kesalahan tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah dan tidak memakai gelang merah jambu selepas kembali dari Turki.

Pas juga menyalahkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri kerana cuai atas kesalahan yang dilakukan oleh Khairuddin.

Katanya, pendirian Pas ini tidak masuk akal sehingga sampai hati menuduh Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia, menunjukkan betapa terpesongnya sistem nilai di dalam Pas.

Kata Guan Eng, DAP tidak bersetuju dengan Pas yang mengangkat Khairuddin sebagai wira kerana seorang wira adalah seseorang yang mendedikasikan hidupnya untuk melindungi orang lain di dalam usaha menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik.

”Itulah perbezaan antara DAP dan Pas. DAP menganggap wira sebenar adalah anggota Kementerian Kesihatan dan pasukan keselamatan manakala Pas memilih Khairuddin,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Comment

  1. Dr.Haji.

    Dalam bab ini saya menyokong kenyataan SUA DAP LGE terhadap Kairuddin Altakiri
    Ini bukan bermakna saya pengundi DAP..Sila ke mahkamah sebelum.kamu Khairuddin digelar “si bacul’.

Leave a Reply